BERSAUDARALAH KAMU KERANA ALLAH!
Antara projek (program) terawal yang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam lancarkan di kota Madinah ialah mempersaudarakan diantara sahabat Ansar dan sahabat Muhajirin. Program (projek) itu dilancarkan dan dilaksanakan di rumah Saidina Anas bin Malik r.a. dan ibunya, Ummu Sulaim, r.d.h.a. Kaum muslimin yang hadir saat itu berjumlah 90 orang. Separuhnya dari kalangan Muhajirin dan selebihnya dari kalangan Ansar. Rasulullah menasihati mereka agar saling membantu dan melindungi. “Bersaudaralah kerana Allah, seseorang di antara kamu bersaudara pula dengan seorang yang lainnya,” pesan baginda lagi. (Dr Nizar Abazhah / Fi Suhbatir Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam).
Persaudaraan yang diasaskan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam ini disifatkan sebagai yang paling indah dan unik dalam sejarah.
Apa kata As Syeikh Muhammad Al Ghazali Rahimahullah mengenai persaudaraan ini?
“Erti persaudaraan yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad di sini ialah supaya fahaman berpuak-puak secara jahiliah dapat dihapuskan. Justeru, tidak ada keakraban atau hubungan yang sangat rapat dan baik melainkan atas landasan Islam”.
“Dengan adanya persaudaraan seperti ini maka perbezaan keturunan, warna kulit hatta tanah air dapat dibuang. Lantaran itu, tidak seorang pun yang dapat ditampilkan ke hadapan atau diletakkan di belakang melainkan dengan faktor maruah dan ketakwaannya,” sambung beliau lagi.
Persaudaraan yang bagaimana yang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mahukan?
Baginda ternyata mahu menjadikan persaudaraan sesama Islam itu sebagai satu kontrak atau perjanjian sejati yang perlu dihayati dan dilaksanakan, bukan sekadar teori, bukan sekadar atas kertas, bukan hanya sebagai mainan di bibir atau manis dimulut sahaja tanpa dipraktikkan. Ia melampaui sehingga melibatkan soal darah dan harta benda. Bagi baginda tidak ada gunanya umat Islam bertempik riuh berkenaan persaudaraan atau dilaungkan persaudaraan sesama Muslim tetapi yang tinggal akhirnya hanyalah sekadar slogan dan retorik yang tiada hasilnya.
Siapakah di antara sahabat yang dipersaudarakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam?
Saidina Abu Bakar As Siddiq dengan Kharjah bin Zaid, Saidina Umar dengan Utbah, Abdullah bin Mas’ud dengan Muaz bin Jabal, Mus’ab bin Umiar dengan Abu Ayyub Al Ansari, Abu Ubaidah dengan Abu Talhah dan begitu jugalah yang lain-lainnya radhiallahu ‘anhum ajma’in.













Pahrol Mohamad Juoi
Ajwadaie
Saifulislam
Hilal Asyraf